Menjadi Bintang Kejora

Ada cerita di sebalik ulasan novel sulungku di Berita Harian itu [20 November 2009].

Ini adalah cerita dalam ruang yang semuanya berlingkung atas satu nama - Kasad. Atau lebih tepat lagi segalanya ini berkisar tentang hati. Ya, hatiku.

Hasrat menghantar novel ini ke Berita Harian adalah suatu yang sudah lama kupendamkan. Sebelum novel sulung ini terbit lagi, kasad itu sudah lama kutancap kejap dalam kalbu. Malah proses kreatif Menjadi Bintang memakan masa hampir setahun sebelum melalui tempoh pemeraman atau sebetulnya pemurnian.

Tiada niat untuk meminta novel itu diulas. Hanya seuntai kata-kata penghargaan di dalamnya sebagai tanda terima kasih kepada ketua editornya, kerana Berita Harian adalah media yang bertanggungjawab memperkenalkan namaku di persada sastera tanah air. Bermula dengan Sebuah Tuhfah di ambang Syawal 23 November 2003, diikuti Salju Jabal Musa, Mentari Mediterranean, Bintang Seorang Rafik, Cinta Daerah Menoufia dan Ibtisam Syawal, dua daripadanya memenangi Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 dan 2007. Ya, aku dengan Berita Harian mempunyai sejarah tersendiri. Sebuah memori istimewa.

Apa yang lebih penting, ialah tentang novel itu. Masih teringat penghargaan Cik Farina [wartawan sastera Berita Harian] terhadap Menjadi Bintang ketika bertemu dengannya semasa Umbara Sastera III, dia membayangkan novel itu sebuah novel yang begitu menarik dan menguja pembacaan. Aku jadi malu sendiri, tapi dalam hati, melafazkan rasa syukur kepada Allah, atas ilham dan kudrat yang diberikan kepadaku untuk menghasilkan novel ini.

Menjadi Bintang bukanlah sebuah novel yang hebat, barangkali istimewanya bagiku ialah anyaman kenangan kanak-kanakku di dalamnya. Aku dilahirkan di kampung, membesar dan melalui zaman persekolahan di kampung. Malah, rumah nenek menjadi tempat persinggahan wajibku setiap hari. Rakan-rakan di kampung, segala macam karenah kanak-kanak, letup-letup, lastik, nyorok-nyorok, konda-kondi, bercempera di sungai, dan segala macam peristiwa itu dijelmakan dalam bentuk persahabatan yang kukuh dalam Menjadi Bintang. Meskipun teknik sorot balik atau imbas semula tidak banyak digunakan, tapi mengangkat latar kampung dan memerikannya bukanlah sesuatu yang mudah. Aku perlu melakar peta Kampung Kemboja di dalam kertas dan setiap kali ingin kembali memulakan penulisan, peta yang sudah dilakar itu pasti akan dirujuk dan dirakam kemas dalam katarsis.

Menulis tentang industri penternakan ayam adalah sesuatu yang amat mencabar kemampuanku. Aku terpaksa keluar dari citra biasa lalu ia tidak menjadi mesra dengan diri. Namun, perlahan-lahan aku memecahkan benteng itu, apabila Puan Zaharah Nawawi selaku penyelia pada masa itu, setiap minggu meminta bab-bab novel. Maka jiwa digagahkan melakukan penyelidikan terus menerus, memerah otak dan minda memikirkan naratif serta watak, meskipun setiap kalinya akulah menjadi penghantar bab yang paling lewat.

Menjadi Bintang pernah melalui tempoh hibernasi yang agak lama. Kala itu, aku telah melihat novel-novel sahabat yang lain seperti Serunai Faqir, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi, WB Rendra dan yang lain-lain sudah dicetak dan dapat dilihat di rak jualan, dan Menjadi Bintang masih di komputer dan terus dimurnikan sedikit demi sedikit [meskipun ada beberapa perkara yang tidak dipersetujui untuk diubah seperti yang disaran oleh pihak editorial DBP] yang sebelum itu sudah dicetak berbab-bab oleh sahabat Ibnu Ahmad Al-Kurauwi dan diri amat berterima kasih kepadanya. Sehinggalah aku dihubungi oleh editor baharu Puan Nurdiana Mohd Noor, setelah berlaku beberapa pertukaran bidang kerja dan kenaikan pangkat; diminta untuk mengemel bab demi bab draf novel yang telah dimurnikan [setelah bersetuju dengan cadangan DBP untuk merubah judulnya]. Beberapa perkara yang tidak aku persetujui untuk diubah, aku berikan alasan dan sebab terbaik dan akhirnya, novel ini mula dicetak. Dan ia makan masa hampir setahun juga selepas novel rakan-rakan yang lain dicetak dan berada di pasaran.

Novel ini diinspirasikan dari kisah junjungan mulia SAW dengan sifat jujur baginda berniaga dan berdagang sehingga melahirkan kecintaan dan kasih sayang Saidatina Khadijah dan orang ramai kepada baginda. Sifat ini diangkat dalam watak Amir Mustafa dalam melakukan islah dan tajdid di kampungnya melalui pembukaan ladang ternakan ayam seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung.

Terima kasih buat pengulas novel ini. Pertama di Tunas Cipta sebaik sahaja novel ini masih panas dicetak dan belum pun tiba di tanganku lagi, kanda Nisah Haron dalam eseinya, sesuai dengan sifatnya yang sentiasa mengambil berat tentang rakan-rakan. Juga buat Puan Salbiah Ani dan Cik Farina di Berita Harian, terima kasih atas apresiasi ini. Terima kasih kepada pembeli dan pembaca novel ini, terus suburkan rasa dengan sastera dan bacaan yang berfaedah. Maafkan atas segala kelemahan dan kekurangan, kerana aku hanya hamba, lemah dan tidak berdaya. Doakanlah agar proses penulisan novel kedua ini dipermudahkan Tuhan, doakan kawan-kawan, agar aku terus tetap dan tekal dalam jihad ini, menjadi bintang kejora, dalam berjuta-juta bintang di angkasa.

Umbara Sastera III & Bengkel Cerpen PEN 2009

[Izinkan aku berbahasa dengan "Saya".]

Ini cerita saya selepas Umbara dan Bengkel Cerpen.

Selepas bengkel saya berdiri merenung diri. Mengamati air hujan yang turun, bagai manik-manik permata menimpa tubuh. Terasa seperti melayang dalam dingin hujan selepas terlaksananya suatu amanah di pundak. Kepenatan seperti air yang mengalir deras, hilang dan memberi perangsang baru dalam diri.

Pengalaman julung kalinya menyelaras sebuah program sastera benar-benar mengujakan. Di samping ingin melunaskan tanggungjawab sebagai seorang jawatankuasa PEN, hati ingin melunasi sebuah janji yang pernah saya nukilkan melalui profil di Tunas Cipta lama dulu - menulis itu amanah. Bukanlah populariti dan nama yang ingin dicari, tapi untuk melaksanakan tugas sebagai khalifah di atas bumi melalui jihad pena.
Saya bukanlah siapa-siapa di dalam bengkel ini. Bukan seorang penulis hebat jauh sekali seorang yang prolifik. Tiada rentetan kemenangan atau memiliki sebuah rak kaca yang penuh dengan koleksi hadiah dan anugerah dalam penulisan. Maka, saya adalah penulis biasa dan bukan siapa-siapa. Dan sehingga kini, saya masih merasakan, kerusi yang saya henyak semasa Umbara itu, masih ada yang lebih layak untuk mendudukinya. Dan saya sebolehnya hanya mahu duduk di kerusi peserta mendengar ilmu, ataupun duduk sahaja di kaunter pendaftaran membantu mengambil maklumat peserta.

Terima kasih kepada semua yang sudi hadir ke Umbara dan Bengkel. Puan Mahaya yang sentiasa boleh, Puan Nisah yang sentiasa mengambil berat dan sekalian rakan-rakan yang memberi inspirasi. Maaf, jika terlalu mendesak. Saya sebaik mungkin melaksanakan tugas. Juga kepada Cik Farina dan rakan media Berita Harian yang sudi membuat liputan terhadap program serba sederhana ini. Tidak dilupa juga kepada Ketua Editor Sastera Berita Harian Puan Salbiah Ani, mengambil berat segala maklumat yang diberikan dan mewakilkan kehadiran juga.

Maaf Tuhan, jika kasad hati ini pernah tergelincir dari landasannya. Kepada para peserta, maaf atas segala kekurangan. Mohon kemaafan atas cadangan-cadangan yang mungkin kurang bernas. Kalian berhak untuk tidak menyetujuinya. Saya bukan pembimbing anda, tapi saya adalah rakan anda, sama-sama kita boleh berkongsi pengalaman dan wacana.

Justeru, ini bukan cerita saya sahaja. Dan ini juga bukan cerita Bengkel. Bukan cerita Kasad dan bukan cerita Umbara. Ini cerita amanah, cerita tanggungjawab, cerita wacana dan cerita jihad. Dan inilah sebenarnya cerita kita!

Kredit gambar untuk Zalila Isa

Umbara Sastera III bersama PEN

Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) akan mengadakan Umbara Sastera III & Bengkel Cerpen sebagaimana butiran berikut :

Tarikh : 14 November 2009 (Sabtu)
Tempat : Dewan Tingkat 1, Asrama D'Ark, Taman Sri Kasih, Senawang (boleh search di maps.google.com untuk lokasi dan arah jalan. Taipkan "Asrama D'Ark")

Sebagai gambaran awal, program ini akan berlangsung dalam dua sesi seperti berikut :

Sesi I (pagi) : Umbara Sastera III bersama pemenang-pemenang HSBI ke-12
Sesi II (pagi - tengah hari sehingga petang) : Bengkel Cerpen
Pembimbing : Puan Nisah Haron & Encik Amiza Khusyri Yusof

Sesi yang pertama terbuka kepada semua penulis dan peminat sastera untuk sama-sama mengambil manfaat melalui perkongsian proses kreatif karya para pemenang. Manakala untuk sesi yang kedua, terbuka kepada penulis atau calon penulis yang menghantar cerpen untuk dibengkelkan. Syarat-syarat penghantaran cerpen adalah seperti berikut :

1) Cerpen hendaklah ditaip double spacing
2) Cerpen hendaklah dihantar sebelum atau pada 10 November 2009

Untuk menyertai Umbara Sastera III tiada yuran dikenakan dan hanya RM20 seorang bagi yang berminat menyertai sesi bengkel.

Maklumat lanjut boleh dibaca di laman web PEN.

Terkenang III

Seperti terasa sejuk yang menggigit-gigit kulit. Jaket tebal dan mafela seperti tidak mencukupi untuk melindungi tubuh. Aduhai, pendakian ke Jabal Musa adalah sebuah pendakian yang tidak akan luput dari ingatan selamanya. Apatah bila tiba di puncak melihat kelemayar mentari perlahan-lahan memanjat kaki langit. Sungguh terasa keagungan dan kebesaran Tuhan. Mengenang salju yang jarang turun di puncak, maka terilhamlah cerpen "Salju Jabal Musa" yang menjuduli antologi bersama 4 orang penulis muda itu. Cerpen ini juga telah memenangi kategori karya eceran dalam Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005. Barangkali aku hanya boleh menanam azam dan impian dalam hati, untuk kembali menawan puncak Jabal Musa suatu hari nanti. Insya-Allah!

Terkenang II

Diri kini seperti dipuput bayu Mediterranean. Terbayang-bayang perjalanan ke Kota Iskandariah, kota pantai yang cantik dan mempesonakan. Aku pernah dijemput ke sini oleh siswi Al-Azhar Iskandariah untuk berbicara seputar karya kreatif. Dan di sini jugalah terilhamnya cerpen "Mentari Mediterranean" yang pernah tersiar di Berita Minggu. Aku kini seperti mahu melaungkan kepada siswi-siswi Iskandariah, "Menulislah, kerana kota ini cukup mengilhamkan!".

Terkenang

Aku terkenangkan Masjid Saidina Hussain di Khan Khalili. Di sinilah dompetku nyaris dikebas pencopet. Dan di sini jugalah terilhamnya antara cerpen terpilihku, "Pengemis Tua di Masjid Hussain" yang tersiar di Tunas Cipta dan dibukukan dalam antologi cerpen bersama "Salju Jabal Musa". Terasa segar kenangan di sana.

Pernahkah?


Pernahkah

kalian melihat
kabus membungkus pagi
dalam alunan takbir
dan salam bertemali
menyimpul Ramadan?



Pernahkah

kalian merasakan
pawana segar berpuput
berlatarkan kicau burung
dan insan berpapasan
ceria berwarna-warni
dalam senyuman?

Pernahkah
kalian menikmati
lelah penat
mengacau dodol
menunggu lemang
menganyam ketupat?

Pernahkah
kalian mendalami
air mata gembira
yang menitis
di pipi tua?

Pernahkah
kalian berfikir
apakah khazanah ini
dapat diwarisi
oleh pewaris bangsa
yang semakin hilang
kedesaannya?

Amiza Khusyri, TTJ Seremban, 26 September 2009.

Designed by Posicionamiento Web | Bloggerized by GosuBlogger | Blue Business Blogger